Kebajikan rakyat, kemakmuran negeri terus jadi keutamaan

Iklan
Menteri Besar Johor yang baru dilantik, Dr Sahruddin Jamal (dua dari kiri) bersalaman dengan Datuk Osman Sapian selepas mengadakan sidang akhbar di Pejabat Bersatu Johor Bahru hari ini. - Foto Raja Jaafar Ali

JOHOR BAHRU - Kebajikan rakyat dan kemakmuran negeri ini, terus menjadi keutamaan Kerajaan Johor di bawah kepimpinan Dr Sahruddin Jamal yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17, pagi tadi.

ADUN Bukit Kepong itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama rakan dalam parti komponen PH Johor yang bersatu hati untuk memastikan kerjasama sedia terjalin lebih kukuh.

Iklan
Iklan

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang bersatu hati dalam memastikan kita dapat bekerjasama dengan lebih kukuh demi kebajikan rakyat dan negeri Johor yang tetap diutamakan.

"Apapun saya akan cuba menggalas amanah diberikan kepada saya dengan sepenuh hati untuk memastikan kemajuan Johor dan yang penting sekarang ialah rakyat,” katanya pada sidang media di Pejabat PH Johor di sini, hari ini.

Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri ingin memastikan rakyat Johor terus dapat menikmati segala kemajuan dan pembangunan dirancangkan, malah yakin bantuan wakil rakyat PH lain mampu merealisasikan hasrat tersebut.

"Insya-ALLAH dengan bantuan semua YB dan sahabat, kita akan dapat membawa negeri Johor lebih maju ke depan,” katanya.

Iklan

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih juga kepada bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang diakuinya sebagai penggerak utama PH di negeri ini selain kepimpinan di peringkat pusat sehingga berjaya membentuk kerajaan di Johor.

"Ucapan terima kasih setinggi-tingginya dan Alhamdulillah sepanjang Datuk (Osman) menerajui negeri Johor banyak perancangan yang beliau lakukan. Insya-ALLAH saya akan meneruskan segala agenda yang direncanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin berkata, akan berlaku perubahan portfolio dalam barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor

"Datuk Osman ada pasukan dia, saya pun ada pasukan saya. Jadi saya akan memilih YB-YB yang saya selesa bekerja untuk memastikan kita dapat membantu masyarakat mendapat segala kemudahan yang akan kita laksanakan,” katanya.