LOS ANGELES - Elon Musk menggantung akaun milik Kanye West pada Jumaat setelah penyanyi rap kontroversi tersebut memuat naik gambar sensitif memaparkan simbol swastika dan Star of David.
"Akaun miliknya digantung kerana menghasut keganasan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Twitter tersebut menerusi respons terhadap ciapan West.
Bekas suami selebriti terkenal, Kim Kardashian itu turut berkongsi gambar Musk tidak berbaju dan disembur dengan air berserta kapsyen, 'ayuh kita sentiasa ingat ini ialah tweet terakhir saya'.
Sejak akhir-akhir ini, West sering mengeluarkan kenyataan anti-Semitik (anti-Yahudi) dan secara terang-terangan mengakui dia menyukai pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler.
Tindakan tegas Musk bagaimanapun bertentangan dengan pendiriannya sebagai 'penyokong kebebasan bersuara'.
Sebelum ini, bilionair Amerika itu berulang kali menyatakan bahawa beliau percaya semua kandungan yang dibenarkan undang-undang boleh dipaparkan di Twitter yang turut mencetuskan kebimbangan jika bos baharu laman blog mikro berkenaan gagal menapis maklumat palsu di platform tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, rangkaian sosial Parler membatalkan rancangan untuk menjual platform itu kepada West yang juga dikenali sebagai Ye setelah dia semakin lantang membuat komen anti-Semitik.
"Parlement Technologies mahu mengumumkan persetujuan bersama yang dicapai bersama Ye pada pertengahan bulan lalu telah dibatalkan," ujar rangkaian itu yang dilihat sebagai medium retorik golongan ekstremis. - AFP