PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky enggan terburu-buru meletakkan sasaran tinggi melibatkan gandingan beregu lelaki dan beregu wanita negara di Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Rexy yang sebelum ini meletakkan sasaran buat gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah untuk melepasi peringkat kumpulan, sebaliknya akan menilai kembali sasaran itu setelah undian membabitkan pemain diketahui pada 5 Disember.
"Semua yang layak ke Jelajah Dunia ini sudah semestinya sasarkan juara. Langkah pertama, kita perlu melepasi peringkat kumpulan namun kalau kita sasar juara seawal peringkat itu, ia akan memberikan tekanan kepada mereka.
"Undian juga belum keluar, kalau lihat berdasarkan ranking Jelajah Dunia, tidak mustahil untuk mereka bertemu dengan gandingan yang kuat. Jadi kita perlu lihat dahulu dan baru dapat menetapkan sasaran jelas ke mana kita boleh capai," katanya.
Menurut Rexy, persediaan membabitkan pemain menjelang kejohanan itu berjalan lancar dengan tumpuan lebih diberikan kepada aspek psikologi dalam usaha untuk memperkuatkan mental pemain.
Beliau berkata, setakat ini kekuatan mental gandingan lelaki dan gandingan wanita negara berada di tahap memberangsangkan namun diharap dapat meningkat, sekali gus mencapai sasaran yang diinginkannya bagi memenangi setiap perlawanan pada kejohanan itu.
Selain Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah, empat lagi beregu Malaysia akan beraksi di Jelajah Dunia Akhir itu yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 7 hingga 11 Disember.
Mereka adalah beregu profesional lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi; beregu profesional wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan dua beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Dalam perkembangan lain, Rexy memaklumkan telah membuat rombakan membabitkan gandingan beregu campuran negara bagi mengharungi saingan beberapa kejohanan di masa akan datang.
"Ia sudah berjalan dan gandingan itu telah dimuktamadkan iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing, Choong Hon Jian-Yap Ling, Loo Bing Kun-Yap Cheng Wen serta Yap Roy King-Valeree Siow.
"Sudah beberapa kali kita gandingkan mereka, jadi kita nampak mereka perlu dikekalkan," katanya.
Sebelum ini, Rexy yang dikenali cukup gemar mencuba kombinasi baharu membabitkan pemain beregu negara turut membuat perkara sama ke atas gandingan beregu lelaki menjelang Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak pada 13 hingga 18 Disember ini. - Bernama