LZS kaji naik had kifayah zakat

Iklan
Mohd Sabirin (depan empat dari kiri) bergambar bersama tetamu dan penerima yang hadir pada Majlis Serahan Sumbangan Dana TKPH dan Geran Pendidikan Pelajar OKU LZS di Auditorium 1 Hospital Al Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam di sini pada Jumaat.

PUNCAK ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedang membuat penilaian semula had kifayah zakat bagi menentukan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, pada masa ini had kifayah semasa di negeri ini berjumlah RM2,734 setiap keluarga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, had kifayah itu kemudiannya dikaji dan dicadangkan dinaikkan kepada RM2,990 untuk setiap keluarga pada awal tahun ini.

"Tetapi akibat pandamik dan kesan daripada peningkatan ekonomi, maka kita terpaksa membuat kajian semula jumlah tersebut kerana ada kemungkinan jumlah daripada kajian tersebut tidak menepati pada waktu sekarang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Sumbangan Dana Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) dan Geran Pendidikan Pelajar OKU LZS di Auditorium 1 Hospital Al Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam di sini pada Jumaat.

Mohd Sabirin berkata, had kifayah semasa berjumlah RM2,734 setiap keluarga pada masa sekarang ditetapkan sejak dua tahun lalu.

Iklan

Katanya, LZS sentiasa membuat kajian had kifayah zakat secara berterusan mengikut keperluan masyarakat.

Beliau memberitahu, sebanyak RM77 juta diperuntukkan bagi program 'Zakat Selangor Peduli' bagi membantu golongan memerlukan terutama asnaf.

"Bantuan fakir dan miskin misalnya kita salurkan secara 'one-off' untuk kelangsungan hidup mereka yang memerlukan," ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya,LZS memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta kepada TKPH membabitkan 15 hospital dan institusi perubatan serta geran pendidikan di 22 pusat terapi OKU di negeri ini dan Kuala Lumpur.

Katanya, menerusi sumbangan zakat itu, setiap hospital dan institusi perubatan masing-masing menerima sumbangan zakat antara RM20,000 hingga RM300,000, manakala pusat terapi OKU masing-masing menerima antara RM20,000 hingga RM50,000.

"Geran kepada TKPH ini telah dilaksanakan sejak 2008 bertujuan meringankan beban pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembinaan bagi menjalani rawatan di hospital," ujarnya.