Premis ikan hiasan pamer ikan pendatang diberi amaran

Iklan
Spesies ikan pendatang jenis peacock bass yang dipamerkan tanpa kebenaran di sebuah premis jualan ikan hiasan. - Foto ihsan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Sebuah premis menjual ikan hiasan dikesan mempamerkan ikan pendatang jenis peacock bass serta menjual ikan flower horn tanpa kebenaran.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, kesalahan itu dikesan ketika program pengawasan ikan larangan di premis ikan hiasan sekitar daerah Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu pada 17 November lalu.

Iklan
Iklan

Kata beliau, pengusaha premis tersebut diberi amaran agar mematuhi peraturan dengan memohon kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk mempamerkan ikan spesies pendatang itu.

"Semua ikan di premis berkenaan telah direkod dan kedai terlibat akan dipantau secara berkala. Setiap kedai yang diperiksa juga diberikan poster dan risalah mengenai ikan spesies asing sebagai salah satu program kesedaran awam," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Iklan

Ruzaidi memberitahu, sekiranya premis berkenaan telah mendapat kebenaran dan ikan itu mati, pemilik premis perlu merekod dan mengemukakan bukti bergambar atau membawa ikan itu sendiri untuk rekod pihak jabatan.

Sementara itu, katanya, ikan jenis flower horn yang dibiakkan di dalam negara boleh dijual, namun pihak premis juga perlu memohon kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Iklan

"Jika pihak premis gagal mematuhi peraturan dan masih berdegil selepas diberi amaran, mereka berdepan tindakan sitaan dan pendakwaan," katanya.

Menurut Ruzaidi, program pengawasan ikan larangan di premis ikan hiasan itu dijalankan oleh tujuh anggota Perlindungan Perikanan dan Unit Biosekuriti Negeri Terengganu.

Katanya, sebanyak tiga premis diperiksa melibatkan dua di daerah Kuala Terengganu dan satu di Hulu Terengganu.

"Program pemeriksaan ini akan diadakan secara berkala bagi memastikan pengusaha atau premis ikan hiasan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Ia bagi memastikan sumber sedia ada terpelihara daripada ancaman ikan-ikan pendatang yang boleh mengganggu-gugat ekosistem ikan asli," ujarnya.

Di Malaysia, ikan peacock bass dilabelkan sebagai ikan pendatang atau ikan alien.

Dalam konteks sains, ikan ini disifatkan sebagai perosak yang berisiko tinggi kerana kehadirannya menyebabkan ketidakseimbangan dalam ekosistem asal.

Antara implikasi kehadiran ikan ini tanpa kawalan ialah kepupusan spesies asal ikan tempatan kerana terdapat persaingan untuk mendapatkan makanan dan habitat dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Selain itu, sifat ikan ini yang begitu agresif menjadikan ikan ini pemangsa kepada spesies ikan tempatan.