SHAH ALAM - Pemberian subsidi yang disalurkan tanpa penelitian terperinci akan menyebabkan kerugian kepada rakyat serta membebankan kerajaan, kata Ahli Majlis Perundingan Pertanian Negara, Prof Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad.
Jelas beliau, subsidi tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya, kerana akan mendatangkan implikasi buruk kepada kewangan negara.
Justeru, katanya, kerajaan perlu melaksanakan inisiatif bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.
"Kita lihat di Malaysia setengah kes subsidi itu berterusan dari zaman 70-an. Saya tahu industri padi dan beras subsidinya berterusan sampai sekarang malahan meningkat secara mendadak apabila berlaku krisis 2008. Daripada RM500 juta meningkatkan kepada RM2 bilion dan tahun lepas RM1.5 bilion tetapi hasil tidak naik.
"Walaupun subsidi naik hingga RM1 bilion tetapi produktiviti menurun, faktor seperti masalah baja lambat, mengambil masa 20 hingga 200 hari, penangguhan itu mendatangkan kerugian kepada petani. Jadi, berdasarkan kumulatif subsidi (dikeluarkan sebanyak) RM33 bilion sejak 70-an tetapi kemajuan tidak begitu menyerlah. Ia memang membebankan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk"Inilah kabinet Anwar” yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat dikendalikan moderator, Fahiz Ariff.
Sehubungan itu, Fatimah turut menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan subsidi bersasar yang disifatkan akan lebih memberi tumpuan kepada golongan miskin.
"Kita dalam era kegentingan ini, kerajaan perlu bantu dengan memberi subsidi tetapi yang kita mahu subsidi bersasar.
"Sekarang ini subsidi telah diberikan adalah petrol, ramai ahli ekonomi mengatakan ramai yang mendapat untung adalah industri besar dan orang kaya.
"Jadi kita perlu olah sistem tersebut, (fokus) subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukan terutama pengguna miskin dan 'micro small and medium enterprises' (perniagaan kecil)," ujarnya.
Tambahnya, untuk mencapai subsidi bersasar itu, memerlukan komitmen yang jitu dan terperinci khususnya melibatkan pengkalan data.
"Selain itu, pemantauan dan pelaksanaan yang sangat rapi serta semak semula subsidi itu sama ada sampai atau tidak ke tangan mereka yang memerlukan kerana ia melibatkan wang berbilion-bilion," ujarnya.