JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor ke-17, Dr Sahruddin Jamal menjunjung kasih ke atas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di atas perkenan melantiknya sebagai menteri besar yang baharu.
Menurutnya, beliau akan mengutamakan kepentingan negeri berbanding peribadi atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri Johor.
Iklan
Iklan
"Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan DYMM Tuanku untuk melantik patik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-17.
"Patik akan menggalas tanggungjawab ini dengan jujur, ikhlas dan penuh amanah, serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri Johor. Kepada ALLAH Berserah, Muafakat itu Berkat," katanya dalam satu rakaman video berdurasi kira-kira satu minit di sini hari ini.
Terdahulu, yang juga ADUN Bukit Kepong mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 selepas menerima surat tauliah dan pengisytiharan pelantikan di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini hari ini.