JOHOR BAHRU - Perubahan pimpinan kerajaan negeri menerusi pertukaran Menteri Besar Johor yang baharu diharap dapat mengembalikan kestabilan pentadbiran di negeri ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dilihat penting bagi memastikan proses pentadbiran dapat berjalan lancar supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat di negeri ini.
"Tahniah kepada Dr Shahruddin Jamal atas pelantikan ini. Saya berdoa mudah-mudahan beliau dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.
"Dengan peralihan kepimpinan ini, saya berharap pentadbiran kerajaan negeri Johor akan berjalan dengan lancar sekali gus memastikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha memajukan Johor demi kepentingan rakyat di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan pucuk pimpinan parti yang telah memberikan kepercayaan untuk lantikan tersebut.
"Saya menjunjung kasih Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana telah memperkenankan pelantikan ADUN Bukit Kepong (Sahruddin) sebagai Menteri Besar Johor baharu seperti mana yang telah dicadangkan pucuk pimpinan PH.
"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah memberikan panduan, sokongan dan kepercayaan penuh kepada PH Johor untuk proses peralihan kepimpinan kerajaan negeri," katanya.
Terdahulu, Istiadat Pelantikan Sahruddin sebagai Menteri Besar Johor ke-17 telah berlangsung di Istana Bukit Serene, di sini, pada jam 9.30 pagi tadi.
Sebelum dilantik sebagai Menteri Besar, Sahruddin yang juga doktor perubatan merupakan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri dan ini adalah penggal pertamanya sebagai wakil rakyat.