PADANG SERAI - Ramalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu untuk dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri tidak kesampaian selepas beliau diumumkan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam senarai kabinet Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, dengan pengalamannya sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini beliau menyangka akan diberi tanggungjawab di Kementerian Dalam Negeri, namun menerima keputusan yang telah dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sebab saya banyak tahu hal berkaitan pertahanan negara saya ingatkan akan dilantik di Kementerian Dalam Negeri tapi dia pergi ke food sekuriti (Keterjaminan Makanan)," katanya ketika ditemui media selepas berceramah bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) di Taman Desa Aman, Padang Meiha di sini pada Jumaat.
Ditanya mengenai persediaannya untuk menerajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, beliau akan mendapatkan taklimat daripada pegawai-pegawai kementerian sebelum melakukan pembaharuan.
"Ini suatu benda baharu bagi saya... saya akan dengar taklimat daripada pegawai-pegawai kementerian setakat mana persediaan mereka," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai jumlah pimpinan Amanah yang dilantik dalam kabinet Kerajaan Perpaduan, Mohamad berkata, ia masih di peringkat awal dan beberapa perbincangan akan dilakukan selepas ini untuk memenuhi jawatan lain.
"Saya percaya bila berubah kerajaan ini, pelantikan untuk pimpinan kita ada banyak nanti," katanya.
Selain Mohamad, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.