KULIM - Polis Kedah menerima lima laporan polis berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sepanjang tempoh berkempen di Parlimen Padang Serai sehingga Sabtu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, lima laporan yang diterima membabitkan siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.
Menurutnya, kertas siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
"Setakat ini, proses pilihan raya di Padang Serai berlangsung dengan lancar dan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Kita mengharapkan suasana ini berterusan sehingga hari pengundian pada 7 Disember nanti tanpa sebarang kacau ganggu dan provokasi daripada mana-mana pihak supaya proses demokrasi yang dijalankan ini berlangsung dengan baik serta tenteram," katanya ketika meninjau proses undian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini pada Sabtu.
Wan Hassan berkata, proses undian awal yang berlangsung sejak jam 8 pagi itu sepatutnya membabitkan 76 pegawai dan anggota polis di sini, namun seorang anggota dilaporkan meninggal dunia manakala seorang lagi telah dibuang kerja.
Sementara itu ditanya mengenai kekuatan pasukan sepanjang menghadapi proses pilihan raya di sini, Wan Hassan berkata, seramai 400 pegawai dan anggota telah ditugaskan sejak hari penamaan calon termasuk membuat pemantauan serta kawal selia program dan ceramah parti-parti yang bertanding.
Beliau berkata, bagi hari pengundian pada 7 Disember depan seramai 1,217 pegawai dan anggota akan ditugaskan untuk pemantauan dan kawalan bagi memastikan proses berkenaan dapat berjalan lancar.
"Semua anggota yang terlibat membabitkan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dan IPD Kulim termasuk pasukan cantas khas.
"Selain itu, tiga pasukan Pasukan Polis Simpanan (FRU) dari Perak dan Pulau Pinang akan bersiap sedia di sini bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada hari berkenaan," katanya.
Tambah beliau, kekuatan pegawai dan anggota akan ditambah mengikut keperluan sekiranya keadaan terdesak ataupun polis menerima maklumat mengenai sebarang ancaman dan ganggu gugat yang akan berlaku di sini.