SPR siap siaga hadapi banjir pada hari mengundi DUN Tioman

Iklan
Ikmalrudin (tengah) ketika meninjau proses mengundi awal sempena PRU15 bagi DUN Tioman di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin pada Sabtu. - Foto Bernama

ROMPIN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keadaan siap siaga menghadapi banjir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman susulan Monsun Timur Laut.

Bagaimanapun, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, setakat ini tiada pusat mengundi bagi pilihan raya itu yang dibuka di kawasan berisiko banjir dan pengundi tidak perlu khuatir untuk keluar menunaikan tanggungjawab.

Iklan
Iklan

"Sembilan pusat mengundi yang kita sedia juga adalah sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan insya-ALLAH lokasi ini tidak ditenggelami banjir," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin pada Sabtu.

Sebanyak 17 pusat mengundi akan dibuka bagi PRU15 DUN Tioman dengan lima daripadanya terletak di Pulau Tioman.

Iklan

PRU15 DUN Tioman akan berlangsung Rabu ini (7 Disember) selepas ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli, 61, pada jam 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Pilihan raya itu melibatkan saingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan), Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Iklan

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. - Bernama