SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan barisan kabinet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat itu sebagai kabinet ‘kleptokrat’ yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat.
Ujar Muhyiddin, ia merupakan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
"Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara,” katanya dalam siaran di Facebook pada Sabtu.
Pada Jumaat, Anwar dalam satu sidang media telah menamakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang turut memegang portfolio Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menamakan Naib Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, satu amalan yang Anwar pernah sifatkan sebagai membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewengan berskala besar.
"Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata.
Prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Muhyiddin, sistem negara telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet.
"Agenda reform (Anwar) dilihat melemah kerana beliau sendiri tidak dapat mempertahankan agenda perjuangan partinya yang menentang penyelewengan, selain mempromosi tatakelola yang baik.
"Nilainya sebagai seorang pemimpin yang benar-benar boleh dihormati dan mempunyai maruah, kini boleh dipersoalkan,” jelasnya.