ROMPIN - Terpaksa mengundi awal dua kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menjadi satu kenangan bagi pegawai dan anggota polis Rompin yang mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.
Rata-rata anggota polis yang ditemui pada hari pengundian awal PRU15 DUN Tioman pada Sabtu mengakui situasi itu sesuatu yang istimewa kerana ia jarang-jarang berlaku.
Bagi Lans Koperal Mohd Shafiq Akram Anuar, 28, pengalaman mengundi awal dua kali satu pengalaman baharu baginya.
Menurutnya, keadaan itu juga satu kejutan memandangkan dia telah menunaikan tanggungjawab itu pada 15 November lalu.
"Pada hari mengundi 19 November lalu, saya dapat tahu PRU15 DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian salah seorang calon bertanding dan terpaksa mengundi semula hari ini (Sabtu).
"Walaupun terpaksa mengundi dua kali, saya dan rakan-rakan tetap bersemangat malah menganggap ia sesuatu yang istimewa dan jarang berlaku," katanya ketika ditemui di pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin pada Sabtu.
Bagi rakan setugasnya, Lans Koperal Mohd Jamilul Ikram Jasmi, 32, mengundi dua kali pada PRU15 satu kelainan baginya dan rakan-rakan dari IPD Rompin.
"Kesan dakwat untuk hari pengundian awal sebelum ini masih nampak sedikit kesannya dijari dan hari ini jari lain pula dicelup," katanya.
Perasaan sama di kongsi Koperal Mohd Salleh Sulaiman, 58, yang mengakui pertama kali melalui situasi itu sepanjang berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, baginya situasi itu bukan satu masalah kerana ia berlaku di luar jangkaan.
"Sebagai pengundi, kita tetap perlu tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan bagi saya sendiri, mengundi dua kali ini sesuatu yang jarang berlaku tetapi kami telah melaluinya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, seramai 243 pegawai dan anggotanya menunaikan tanggungjawab mengundi awal buat kali kedua bagi PRU15 DUN Tioman pada Sabtu.
Menurutnya, PRU kali ini satu sejarah bagi IPD Rompin apabila anggota dan pegawai terpaksa mengundi dua kali.
"Sehingga jam 9 pagi, seramai 88 pegawai dan anggota telah menunaikan tanggungjawab mereka termasuk 77 pengundi awal di IPD Rompin dan lapan lagi di Balai Polis Tekek, Pulau Tioman.
"Daripada keseluruhan pengundi awal di IPD Rompin, 19 daripadanya telah menunaikan tanggungjawab melalui undi pos," katanya.
Azahari berkata, proses pengundian awal bagi kedua-dua pusat mengundi dijangka selesai lebih awal berbanding tempoh ditetapkan.
"Sepanjang tempoh kempen ini, pihak polis mendapati proses kempen berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Dalam tempoh itu sebanyak 38 permit berkempen telah diluluskan dan semua calon, parti dan penyokong mematuhi dan akur segala arahan yang ditetapkan," katanya.
PRU15 DUN Tioman menyaksikan pertembungan antara penyandang daripada BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman Bakar (Pejuang) dan calon PN, Nor Idayu Hashim.
Calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly memberi laluan kepada calon BN.
PRU15 DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli, 61, pada hari pengundian 19 November lalu.