KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman berpandangan siapa pun yang dilantik membarisi kabinet Kerajaan Perpaduan ia adalah prerogatif Perdana Menteri yang patut dihormati.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Sepanggar berkata, tidak sepatutnya timbul lagi soal kecewa kerana rakyat Sabah telah diberikan peluang untuk mengundi dan memilih.
"Saya melihat ada nada-nada kecewa khususnya di Sabah terhadap barisan kabinet yang telah dibentuk kerana kurangnya representasi Sabah di dalam kabinet.
"Namun saya berpandangan siapa pun yang dilantik itu adalah prerogatif Perdana Menteri yang patut dihormati dan tidak sepatutnya timbul lagi soal kecewa kerana rakyat Sabah telah diberikan peluang untuk mengundi dan memilih," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Azis berkata, rakyat telah memilih dan mengundi mengikut apa yang mereka percaya boleh membantu Sabah dan terbukti mereka lebih mempercayai keupayaan parti di Semenanjung berbanding parti di Sabah.
"Kita sewajarnya perlu menghormati keputusan rakyat dan melihat ke hadapan. Fokus seharusnya perlu diberikan kepada usaha untuk membantu rakyat kerana ramai rakyat yang terkesan dengan kegawatan ekonomi negara.
"Pemilihan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu, Warisan telah memberikan perakuan bersumpah (SD) kepada Anwar walaupun ditawarkan dengan pelbagai jawatan dan habuan.
"Begitu juga setelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Warisan sekali lagi menjadi parti terawal yang telah memberikan SD kepada Anwar, namun apabila kabinet dibentuk tanpa satu pun jawatan kabinet diberikan kepada Warisan berbanding parti lain," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Warisan wajar membuktikan kepada rakyat Malaysia dan Sabah khususnya bahawa Warisan bukanlah parti yang mengejar jawatan semata-mata tetapi yang berprinsip pada asas perjuangannya iaitu mengutamakan tuntutan kepada hak Sabah.
"Kita pastinya ingin melihat agar Anwar selaku Perdana Menteri akan menunaikan janjinya mengenai tuntutan Sabah dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.