1,200 peserta ikuti World #QuranConvention 3.0

Iklan
Peserta dari dalam dan luar negara mengikuti WQC 3.0 bertajuk 'Coping With Challenges Surah Al-Sajdah' di Dewan Perdana MITI, Kuala Lumpur pada Sabtu. Gambar kecil: Marhaini - Foto SINAR HARIAN/RAFEQ REDZUAN (Gambar kecil: Marhaini)

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 1,200 peserta dari dalam dan luar negara membanjiri World #QuranConvention (WQC) 3.0 bertajuk 'Coping With Challenges Surah Al-Sajdah' anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui pengurus acara, TickTalk TV, yang berlangsung di Dewan Perdana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, konvensyen bertaraf antarabangsa itu memfokuskan kepada empat cabaran iaitu kewangan, kerjaya, keluarga dan sosial atau spiritual dengan memberi solusi berpandukan al-Quran dan sunnah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia merupakan program besar terakhir di bawah kempen #QuranHour tahun ini untuk membawa misi Surah Al-Sajdah dalam memberi solusi dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan hari ini.

Kata beliau, surah Al-Sajdah mengajak umat manusia bersujud kepada ALLAH SWT untuk mencapai kejayaan dan kemenangan.

Iklan

"Usaha berterusan dalam mengajak manusia berinteraksi dengan al- Quran melalui baca, faham dan amal itu bertujuan membina kerangka fikir dan transformasi potensi diri berlandaskan nilai-nilai al-Quran," katanya ketika ditemui pada konvensyen berkenaan.

Program sehari berkenaan menjadi platform pencerahan kerana resolusi diperincikan oleh para penceramah yang terkenal dengan kepakaran masing-masing dan dalam kajian al-Quran.

Iklan

Penceramah dan qari datang dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Palestin, Mesir dan Amerika Syarikat.

Antara penceramahnya adalah Penasihat Global Shariah, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Pengarah Urusan Kumpulan Dagang Nexchange Berhad, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; Pengasas Bayyinah Insitute for Arabic & Qur'anic Studies, Nouman Ali Khan; pendakwah dari Bangladesh, Shaykh Mizanur Rahman Azhari; Tokoh Huffaz Nusantara, Dr Ahsin Sakho Muhammad Asyrofuddin dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

Peserta wanita khusyuk mendengar ucaptama yang disampaikan pendakwah dari Bangladesh, Shaykh Mizanur Rahman Azhari. - Foto SINAR HARIAN/RAFEQ REDZUAN

Manakala barisan qari terdiri daripada Qari My #QuranTime, Tirmizi Amir; Imam dari Palestin, Sheikh Rami As-Sousi; Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke 61, Abdul Khair Jalil dan Imam Mesir, Syakh Abdullah Sobhi Marei.

Konvensyen berkenaan dihoskan oleh selebriti Indonesia, Erik Syam Pratama dan Daie Muda Antarabangsa dari Malaysia, Hifdzi Zaim Zamri, manakala peserta luar negara datang dari Bangladesh, India, Singapura, Brunei, Indonesia, Iran dan Turki.

Marhaini menegaskan, ramalan bahawa negara akan berhadapan dengan masalah ekonomi dan bencana alam pada tahun hadapan dikhuatiri mengundang pelbagai masalah kepada diri, keluarga dan rakyat.

Tambah beliau, ia termasuklah cabaran kewangan, kerjaya, keluarga dan sosial atau spiritual yang perlu ditangani dengan 'divine intervention' (campur tangan ALLAH).

"Oleh itu, konvensyen ini diharapkan membantu masyarakat untuk mengambil formula daripada ALLAH SWT iaitu al-Quran sebagai solusi dalam menghadapi pelbagai cabaran tersebut. Kita perlukan kekuatan dalaman dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.

Slot perkongsian tentang cabaran kerjaya yang menampilkan Pengarah Urusan Kumlulan Dagang NeXchange Berhad, Tan Sri Syed Zainal Abidin menarik perhatian peserta wanita. - Foto SINAR HARIAN/RAFEQ REDZUAN

"Pihak WUIF berharap WQC ini dapat diteruskan dalam siri jelajah ke seluruh dunia. Sehingga kini, Iran, India, Singapura dan Brunei berminat untuk menjadi penganjur bersama bagi program ini," ujar beliau.

Marhaini berkata, disebabkan program kali ini mendapat sambutan menggalakkan pihaknya akan melanjutkan konvensyen itu ke dua hari pada tahun depan iaitu akan adakan pada 2 dan 3 Disember 2023.

WQC 3.0 dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dengan kerjasama rakan sinergi, MITI, Puspanita Cawangan MITI, Surau Ar-Rahman MITI, Kumpulan Karangkraf, Rumah Ngaji, Akademi Cordoba, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Paragon Corporation melalui jenama kecantikan Wardah dan dandanan lelaki, Kahf menjadi penaja utama, selain Grup Buku Karangkraf, Karya Bestari Sdn Bhd, NIMS Adeliciousz Sdn Bhd dan Islamic Tourism Centre manakala Sinar Harian dan TV AlHijrah pula menjadi rakan media.

Untuk rekod, WQC 1.0 bertemakan Surah Al-Kahfi di bawah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) telah dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 2019.

WQC 2.0 yang membawa Surah Al-Mulk pula berlangsung pada tahun lalu dan diadakan secara dalam talian ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan Covid-19.