CRISTIANO Ronaldo menafikan mengeluarkan kata kesat ketika dikeluarkan semasa kekalahan 1-2 Portugal kepada Korea Selatan dalam aksi ketiga Kumpulan H di Stadium Education City pada Sabtu.
Sebaliknya bekas bintang Manchester United berusia 37 tahun itu menegaskan reaksi pada minit ke-66 tersebut ditujukan kepada seorang pemain Taegeuk Warriors kendalian Paulo Bento tersebut.
"Apa yang berlaku ialah sebelum pertukaran saya, pemain Korea Selatan itu menyuruh saya keluar dengan cepat.
"Saya menyuruhnya diam kerana dia tidak mempunyai kuasa itu. Tiada perselisihan faham (dengan jurulatih),” kata Ronaldo.
Media Portugal sebelum itu melaporkan Ronaldo kelihatan mencabar keputusan Santos menggantikannya dengan menggunakan bahasa kesat terhadap pengendali berusia 68 tahun berkenaan.
Untuk rekod, bekas bintang Juventus, Real Madrid dan Sporting Lisbon itu ketika ini sedang berusaha menyamai rekod penjaring sepanjang zaman Piala Dunia Portugal Eusebio, yang meledak sembilan gol pada edisi England 1966 di England, satu-satunya kejohanan yang legenda berkenaan beraksi.
Ronaldo sebelum ini muncul pemain pertama dalam sejarah menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia pada minggu lalu.
Sementara itu, Santos berkata, seorang pemain Korea Selatan bertindak agresif dalam interaksinya terhadap pemenang Ballon d'Or lima kali berkenaan.
"Saya melihat interaksi dengan pemain Korea dan saya tidak ragu-ragu tentang apa yang berlaku," kata Santos.
Pada perlawanan itu, Korea Selatan bangkit menjaringkan gol masa kecederaan untuk menewaskan Portugal, 2-1.
Kejayaan itu membolehkan Taegeuk Warriors mengesahkan slot pusingan 16 terbaik selaku naib juara kumpulan di belakang A Selecao.
Pemain sayap kelab Liga Premeira Portugal, Ricardo Horta terlebih dulu meletakkan Portugal di hadapan pada minit kelima selepas menyempurnakan hantaran kemas Diogo Dalot.
Bagaimanapun, Korea Selatan menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi pemain pertahanan Kim Young-gwon.
Gol kemenangan Korea Selatan akhirnya dijelmakan menerusi sentuhan Hwang Hee-chan pada minit ke-91’.