'Ini bukan kemenangan tetapi permulaan cabaran'

Iklan
Hantaran Facebook Ahmad Zahid pada Sabtu.

SHAH ALAM - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan bukanlah kemenangan sebuah perjuangan.

Sebaliknya beliau menegaskan, ia adalah permulaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan tiba sebaik sahaja diberi amanah memegang jawatan tersebut.

Iklan
Iklan

"Tiada kata selain ucapan penuh syukur ke hadrat ALLAH Maha Esa atas takdir ini.

"Ia bukan kemenangan sebuah perjuangan namun adalah satu permulaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan tiba sebaik sahaja diberi amanah memegang jawatan ini," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Iklan

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga turut menzahirkan ucapan terima kasih atas doa dan sokongan ikhlas yang diberikan semua pihak kepadanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 28 menteri kabinet yang menganggotai kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.

Iklan

Anwar turut membuat keputusan bersejarah dengan melantik dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahmad Zahid dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Selain dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid juga turut memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.