Kempen #QuranHour 2023 angkat Surah Al-Insan

Iklan
Antara peserta World #QuranConvention 3.0 yang hadir pada program berkenaan hari ini.

KUALA LUMPUR - Kempen #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang diadakan secara bersiri sepanjang tahun ini berakhir dengan program World #QuranConvention (WQC) 3.0 yang berlangsung hari ini.

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, kempen yang turut mendapat kerjasama daripada beberapa rakan sinergi itu walau bagaimanapun akan diteruskan tahun hadapan dengan mengangkat Surah Al-Insan sebagai panduan.

Iklan
Iklan
Fazrul

"Surah ini berkaitan dengan psikologi manusia, bagaimana manusia suka diangkat, tetapi sebenarnya apabila memahami surah ini, sistem ganjaran yang sebenarnya untuk direbutkan adalah daripada ALLAH.

"Manusia secara psikologinya kalau nak buat apa-apa (pilihan) antara syukur dan kufur, kita akan memlih jalan syukur. Secara tidak langsung untuk kenal diri sendiri adalah dengan memahami Surah Al-Insan dan kerana itulah ia dipilih (untuk tahun depan),” katanya ketika ditemui selepas program WQC 3.0 pada Sabtu.

Iklan

WQC 3.0 anjuran WUIF melalui pengurus acara TickTalk TV berlangsung di Dewan Perdana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berjaya mengumpulkan lebih 1,200 peserta dari dalam dan luar negara.

Turut hadir pada program tersebut adalah Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Iklan
Muhammad Nasir menyampaikan cenderahati kepada penaja program.

Program kali ketiga itu menampilkan enam panelis dari dalam dan luar negara antaranya Pengarah Urusan Kumpulan Dagang Nexchange Berhad, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; Penasihat Global Syariah, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Pengasas Bayyinah, Institut for Arabic & Qur’anic Studies, Nouman Ali Khan; Tokoh Huffaz Nusantara, Dr Ahsin Sakho Muhammad Asyrofuddin dan pendakwah dari Bangladesh, Shaykh Mizanur Rahman Azhari.

Selain itu turut menampilkan empat qari iaitu Tirmizi Amir, Abdul Khair Jalil (Malaysia); Sheikh Rami As-Sousi (Palestin) dan Syakh Abdullah Sobhi Marei (Mesir).

Pengasas Bayyinah, Institut for Arabic & Qur’anic Studies, Nouman Ali Khan (berdiri) ketika slot terakhir resolusi program World #QuranConvention 3.0.

Dalam pada itu Fazrul turut memaklumkan, Surah Al-Insan akan menjadi surah pilihan bagi semua kempen #QuranHour termasuk World #QuranHour serta Malaysia #QuranHour pada tahun hadapan.

Kemuncak kempen tersebut adalah World #QuranConvention 4.0 yang akan berlangsung pada 2 dan 3 Disember 2023, dengan penyertaan sudah dibuka mulai hari ini.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen #QuranHour, boleh layari laman sesawang www.quranhour.org.

Peserta program World #QuranConvention 3.0 melakukan sujud tilawah selepas qari membaca ayat ke-15 Surah Al-Sajdah.