IPOH - Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang dilantik menganggotai Jemaah Menteri memegang portfolio Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, bukan nama asing dalam arena politik negara.
Kor Ming, 50, pernah menjadi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ketika usianya hanya mencecah 27 tahun selain memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menelusuri karier politiknya, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak apabila dipilih mewakili Pantai Remis pada 1999 dan mempertahankan kerusi itu pada 2004. Pada tahun yang sama beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda DAP Malaysia.
Dipilih menjadi Ahli Parlimen Taiping, ADUN Kawasan Pantai Remis dan dilantik menjadi Ahli Exco kerajaan Negeri Perak sebagai Pengerusi jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan awam pada 2008.
Kor Ming yang memiliki Sarjana Muda Undang-undang Universiti Malaya (UM) LLB (Hons) Mal dan pernah menjadi peguam, dipilih menjadi Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Kepayang Ipoh pada 2013.
Naib Pengerusi DAP itu yang pernah mengetuai pasukan debat UM sehingga diangkat menjadi juara pertandingan debat antarabangsa peringkat dunia di Singapura pada 1997, kemudiannya dipilih menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan dan ADUN Aulong, Taiping pada 2018.
Kejayaannya pada PRU15 sebagai ADUN Kepayang juga memahat pencapaian cemerlang beliau apabila menjadi wakil rakyat paling lama berkhidmat di peringkat DUN Perak iaitu selama enam penggal.
Dalam pesanan ringkas kepada Bernama sejurus pengumuman pelantikannya sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Kor Ming berkata, kebersamaan rakyat dan kerajaan penting sebagai sebuah pasukan yang kuat serta meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mengumumkan pelantikan 28 anggota Jemaah Menteri bagi kerajaan perpaduan termasuk dua timbalan perdana menteri.
Selain Kor Ming, lima lagi anggota Jemaah Menteri dari Perak ialah Perdana Menteri yang memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari Parlimen Tambun dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Turut dilantik ialah Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar sebagai Menteri Sumber Manusia, Parlimen Tanjung Malim Chan Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi) dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir. - Bernama