KUALA TERENGGANU - Walaupun masih belum menjangka sebarang bentuk kerjasama akan datang, Pas beri bayangan untuk meneruskan formula kerjasama bersama UMNO dalam PRU15.
Perkara itu diakui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui media selepas menghadiri Bicara Tokoh Alumni di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di sini, hari ini.
"Benda akan datang, kita tak boleh jangka, tapi insya-ALLAH kita akan teruskan kerjasama ini," katanya ringkas.
Ditanya mengenai kemenangan hatrik UMNO dalam tiga PRK di Semenyih, Cameron Highlands dan Rantau katanya, setiap kawasan mempunyai formula tersendiri.
Dalam pada itu, ditanya persiapan dalam PRK Parlimen Sandakan, Sabah yang diramal akan diadakan pada 11 Mei depan, Abdul Hadi berkata, pihaknya akan mendengar laporan daripada Pas Sabah pada mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur esok.
Semalam pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan kerusi yang diwakilinya sejak 2004 selepas mengetepikan tiga pencabar lain, termasuk calon PH, Dr S Streram.
Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengekalkan kerusi DUN Rantau dengan majoriti 4,510 undi.
Sebelum DUN Rantau, pembangkang juga mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands dan merampas kembali kerusi DUN Semenyih menerusi dua PRK yang diadakan pada 26 Januari dan 2 Mac lalu.