JUARA Afrika, Senegal memerlukan sesuatu yang luar biasa apabila berdepan England, pasukan yang tidak pernah tewas berdepan pasukan dari Afrika, pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022.
Jika Senegal mahu mencipta kejutan di Stadium Al Bayt pada Isnin, Lions of Teranga perlu melakukannya tanpa pengendali inspirasi Aliou Cisse, yang diketepikan kerana mengalami masalah kesihatan.
Menambah cabaran Senegal lagi adalah apabila jeneral bahagian tengah Idrissa Gueye, tidak akan beraksi setelah menerima kad kuning kedua menentang Ecuador dalam aksi terakhir kumpulan.
"Dia (Cisse) telah sakit selama beberapa hari dan dia membenarkan kami mengendalikan latihan dengan arahannya.
"Mudah-mudahan esok dia boleh datang dan berada di bangku simpanan bersama pemain tetapi kami pasti dia akan berada di sana bersama pasukan,” kata penolong jurulatih Regis Bogaert.
Untuk rekod, The Three Lions yang telah berdepan pasukan dari Afrika sebanyak 20 kali, termasuk tujuh di Piala Dunia, masih mengekalkan rekod tanpa kalah.
Walaupun pasukan dari Afrika tewas lapan daripada sembilan aksi pusingan kalah mati Piala Dunia menentang pasukan Eropah, Cisse berada pada edisi Piala Dunia 2002 apabila Senegal menewaskan Sweden sebelum mara ke suku akhir.
"Menewaskan England akan menjadi satu pencapaian yang luar biasa, saya tidak tahu betapa pentingnya ia akan dinilai berbanding kemenangan pada 2002, itu juga penting.
"Jika kita boleh menewaskan pasukan seperti England ia menghantar mesej yang sangat kuat tentang kemajuan kami telah lalukan terhadap pasukan Senegal
"Kami telah mengenal pasti beberapa perkara penting yang boleh dimanfaatkan seperti sepakan percuma yang boleh menjadi penentu dalam perlawanan ini. Kami juga berharap dapat memanfaatkannya.," kata Bogaert.