JURULATIH veteran, Louis van Gaal mula memasang impian besar apabila melihat Belanda berpeluang untuk merangkul kejuaraan Piala Dunia Qatar bagi edisi 2022 kali ini.
Keterujaan jurulatih berusia 71 tahun itu diluahkan selepas Belanda menundukkan Amerika Syarikat (AS) 3-1 pada pusingan kalah mati di Stadium Antarabangsa Khalifa lewat malam Sabtu.
Kejayaan itu membawa Belanda ke suku akhir dan bakal membuat perhitungan dengan juara dua kali, Argentina di Stadium Education City pada 10 Disember.
"Saya fikir kami mempunyai peluang besar di sini,” kata jurulatih berpengalaman itu yang membimbing pasukannya buat kali ketiga.
Van Gaal yang membawa Belanda ke separuh akhir di Brazil pada 2014 perlu memantapkan skuadnya untuk memberi tentangan sengit ke atas Argentina pada Sabtu.
Van Gaal turut memuji para pemain yang mempamerkan aksi terbaik dan membentuk sebuah pasukan yang mantap.
"Kami bercakap mengenai hubungan dalam pasukan. Bagaimana kami boleh membina pasukan kuat, saya bangga dengan pemain dan sudah tentu prestasi serta keputusan,” katanya.
Pada aksi itu, pemain sensasi, Denzel Dumfries mencipta gerakan kepada dua jaringan Belanda oleh Memphis Depay dan Daley Blind serta menjaringkan gol ketiga dipilih pemain terbaik perlawanan.