KUALA LUMPUR - Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) percaya Menteri Belia dan Sukan yang baharu dilantik, Hannah Yeoh berupaya mengangkat martabat 'Pergerakan Paralimpik' negara ini ke tahap yang lebih baik.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yakin pengalaman Hannah sebagai bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini pasti membantunya untuk berada dalam kedudukan lebih baik untuk memahami cabaran dihadapi Orang Kurang Upaya (OKU).
Megat D Shahriman berkata, ini berikutan kementerian yang pernah diduduki Hannah mengendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melaksanakan program buat OKU dan menguruskan Kad OKU.
"Melalui pengalaman beliau dalam kementerian dahulu, saya amat berharap YB Hannah akan lebih memahami keperluan OKU dan memberikan sokongan yang sewajarnya untuk terus memacu kedudukan Paralimpik di negara kita dan menghapuskan ketidaksamarataan terhadap OKU,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Kami akan terus memainkan peranan menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan OKU melalui sukan.
"Kami mempunyai atlet para bertaraf dunia yang telah mencapai pelbagai kejayaan. Kami juga mempunyai sistem sokongan kerajaan yang kukuh untuk mempromosikan sukan para di negara ini,” katanya.Dalam pada itu, Megat D Shahriman turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri atas pelantikan mereka dalam barisan Kabinet baharu.
Beliau berkata kedua-dua kementerian ini juga merupakan pihak berkepentingan utama MPM dalam pembangunan sukan para dalam kalangan kanak-kanak kurang upaya di sekolah Pendidikan khas dan pemulihan OKU menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat. - Bernama.