Ketepikan ego untuk jadi pemimpin yang baik

Iklan
Mahathir - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim

PUTRAJAYA - Pemimpin yang baik akan mengenepikan ego dan berusaha membetulkan kesalahan sekiranya ia dapat memberikan manfaat kepada mereka yang dipimpinnya, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ego cenderung untuk menjadikan seseorang itu tidak dapat melihat kesalahannya, atau enggan mengakuinya, sekali gus menyebabkan dia tidak dapat membetulkan kesalahannya.

Iklan
Iklan

"Satu nilai yang seharusnya diketepikan ialah ego. Sesetengah orang berpendapat ego boleh menjadi sesuatu yang positif, kerana ia akan menjadikan anda lebih kompetetif.

"Bagi saya itu seharusnya lebih kepada azam. Ego adalah berkenaan diri sendiri, bukan mereka yang anda pimpin,” katanya semasa berucap di majlis dialog terbuka dengan belia"Youth Ask, Tun Answers” di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Iklan

Beliau seterusnya menggariskan dua daripada nilai dan kualiti penting yang harus dimiliki seseorang untuk menjadikannya seorang pemimpin yang baik; yakni integriti dan kejujuran.

Sekiranya seseorang pemimpin tidak mempunyai nilai-nilai ini, ia akan mengakibatkan orang ramai dipimpin oleh seorang yang korup dan tidak boleh dipercayai.

Iklan

"Nilai kedua kerja keras, dan junjung tinggi maruah dalam kerja anda. Nilai-nilai ini menjadikan anda seorang yang berintegriti dan ikhlas,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata, seorang pemimpin yang baik juga harus menghayati pembelajaran sepanjang hayat kerana ilmu pengetahuan tidak terbatas dan tidak pernah statik.

"Semakin banyak anda membaca, semakin anda sedar bahawa banyak lagi yang perlu dibaca, dan perlu belajar,” katanya.

Berhubung pembangunan belia, katanya pemimpin semasa menghadapi pelbagai cabaran untuk mengetahui apa yang akan menjadi dasar dan program terbaik yang akan menyediakan belia untuk menahadapi masa hadapan.

Dr Mahathir berkata, terdapat keseimbangan yang rumit dalam menyediakan dasar-dasar dan program-program khusus buat belia, kerana orang dewasa mungkin merasakan mereka tahu apa yang terbaik untuk kaum belia.

Bagaimanapun menurutnya sekiranya kaum belia tidak memberikan maklum balas atau merasakan program-program ini tidak sesuai dengan mereka, akhirnya program ini akan menjadi satu kegagalan, malah boleh menjadi tidak produktif.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah berani apabila memutuskan untuk melantik seorang yang sangat muda menjadi Menteri Belia dan Sukan, yang merujuk kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, walaupun ada pihak yang menyuarakan rasa bimbang terhadap isu pengalamannya yang tidak begitu luas.

"Kami percaya di mana beliau kekurangan dari segi pengalaman, beliau akan berusaha mengatasinya dengan semangat, idealisme dan keazaman, dan kita ada ‘orang tua’ yang mencukupi dalam kabinet yang beliau boleh rujuk.

"Diharapkan dia akan maju dengan baik, dan deapat menimba pengalaman berharga dalam kepimpinan, dan diharapkan dia dapat mewarisinya kepada belia selepas beliau nanti,” kata Dr Mahathir. - Bernama