SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen termasuk wakil pembangkang perlu diberi peruntukan yang sama rata secara keseluruhannya.
Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara itu juga termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang kini menerajui Kerajaan Perpaduan.
"Dalam perbahasan Dewan Negara sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) ada kemukakan hujah sekiranya kita ingin mewujudkan kerjasama yang baik antara kerajaan dan pembangkang, perkara asas yang perlu diutamakan ialah pemberian peruntukan ahli Parlimen mestilah sama rata secara keseluruhannya.
"Kami melihat hubungan simbiotik antara pembangkang dan kerajaan perlu dilaksanakan dengan telus tanpa syarat seperti yang diamalkan ketika pemerintahan PN dan kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Menurut Ahli Parlimen Jerantut itu, PN menjanjikan empat kriteria yang diutamakan sebagai pembangkang melalui pendekatan konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia.
Ujarnya, janji tersebut akan ditunaikan melalui perbahasan lebih efektif, membina, membangun polisi-polisi yang menguntungkan rakyat dan mestilah jujur dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suara rakyat.
"Empat kriteria yang PN janjikan kepada rakyat adalah penting bagi kepercayaan yang telah diberikan kepada kami,” jelasnya.
Beliau turut menambah, agenda transformasi institusi Parlimen wajib diutamakan termasuk pemerkasaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan jawatankuasa yang lain.
Katanya, ia bagi memastikan setiap perjalanan kerajaan adalah berasaskan integriti dan kepentingan rakyat, menolak budaya rasuah, kronisme dan monopoli.
"PN akan memastikan empat pendekatan ini dilaksanakan dengan efektif untuk kami memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan dan menguntungkan rakyat serta negara.
"Kita semua mengimpikan kerajaan yang tidak mengungkit dendam dan sengketa lama tetapi terus fokus dalam agenda membantu rakyat mendepani kemelut ekonomi dan sosial yang semakin membimbangkan,” ujar beliau.