KERAJAAN Perak akan berhubung dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi menyelesaikan masalah Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang digantung sejak Mac lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapat gambaran penuh berhubung kemelut yang melanda badan induk bola sepak Perak itu.
Iklan
Iklan
"Saya akan buat perjumpaan dan bertanya sendiri apakah permasalahan yang dihadapi dan langkah penyelesaiannya supaya PAFA dapat bergerak seperti persatuan bola sepak negeri lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Liga Sepak Takraw Perak di Dewan Bandaran Kinta pada Ahad.
Dalam pada itu, Khairudin menyifatkan kemelut yang berpanjangan itu merupakan suatu kerugian terhadap pembangunan bola sepak negeri.
Pada 7 Mac lalu, PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS bagi membolehkan persatuan itu membuat langkah-langkah pemulihan oleh Jawatankuasa Eksekutif 2018-2021 untuk mengadakan Kongres Tahunan mengikut perlembagaan.
Pihak PJS mendapati pemecatan yang dibuat oleh PAFA terhadap 12 ahli gabungan sebelum ini juga tidak teratur mengikut Perlembagaan PAFA berdasarkan semakan laporan dan rekod yang diperoleh daripada PAFA dan Persatuan Bola Sepak (PB) Melayu Perak.