KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap dapat bekerjasama dengan rakan sejawatnya dari Thailand Prayut Chan-o-Cha, untuk memajukan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand.
Anwar berkata, demikian mengulas perutusan tahniah daripada Prayut atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10 di Facebook.
Iklan
Iklan
Prayut dalam suratnya berkata, beliau berharap dapat bekerjasama rapat untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala termasuk menjalin kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.
"Saya yakin Malaysia akan terus maju dan makmur di bawah visi dan kepimpinan anda dan hubungan kejiranan akan terus berkembang dan menghasilkan banyak manfaat bersama yang meluas untuk rakyat dan rantau kita,” kata Prayut.
Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 24 November.
Pada Februari, Malaysia dan Thailand mengesahkan komitmen mereka untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan dua hala, bekerjasama rapat mencapai sasaran perdagangan dua hala US$30 bilion menjelang 2025. - Bernama.