Malaysia tewas 0-4 kepada Korea Selatan, raih tempat ke-4

Iklan
Pemain Korea Selatan, Manjae Jung (merah), mengatasi Zul Pidaus Mizun emasa aksi penentuan tempat ketiga keempat Piala Negara-Negara FIH 2022 di Afrika Selatan pada Ahad. FOTO: WORLDSPORTPICS

SKUAD hoki lelaki kebangsaan menamatkan saingan Piala Negara-Negara 2022 di Afrika Selatan, dalam episod duka apabila tumpas 0-4 kepada Korea Selatan pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat pada Ahad.

Pada aksi di Stadium NWU Astro, Potchefstroom itu, Korea Selatan memperoleh kedudukan selesa pada suku kedua permainan menerusi jaringan padang Seo Inwoo pada minit ke-22 dan Lee Namyong empat minit kemudian.

Iklan
Iklan

Korea Selatan yang sebelum ini mengatasi Malaysia 1-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Isnin lepas, terus menambah derita skuad ‘Speedy Tigers’ menerusi pukulan sudut penalti Hwang Taeil pada minit ke-39, sebelum Jang Jonghyun melengkapkan kemenangan pasukannya pada minit ke-59.

Kemenangan Korea Selatan itu sekali gus menebus kekecewaan mereka selepas tumpas 2-3 kepada Malaysia pada final Piala Sultan Azlan Shah 2022, baru-baru ini.

Iklan

Pada kejohanan ini, skuad kendalian A. Arul Selvaraj mara ke peringkat empat terakhir selepas menewaskan Kanada 1-0 dan Jepun 5-1 pada aksi kumpulan, namun tewas 0-3 kepada Ireland pada peringkat separuh akhir semalam.

Arul Selvaraj berkata kecederaan tujuh pemain utamanya menyebabkan pasukan bergelut pada kejohanan itu, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat.

Iklan

"Walaupun tewas, pemain telah cuba sedaya upaya. Namun, nampak kekurangan power dalam badan, dari segi kaki dan sebagainya... sudah tentu disebabkan kekurangan pemain untuk kita buat pertukaran pemain.

"Kelemahan agak ketara dari segi dua, tiga muka baharu yang masuk selepas kita hilang tujuh core players dalam kejohanan ini. Itu buat kita agak susah untuk kekal rentak di peringkat ini.

"Namun secara keseluruhan bagus untuk pemain-pemain baharu dapatkan minit permainan,” katanya menerusi video yang dikongsikan kepada media.

Beliau berkata, selepas pulang ke tanah air, anak buahnya akan diberikan rehat selama seminggu sebelum memulakan persiapan terakhir ke Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India bermula 13 hingga 29 Jan depan.

Bagi pemain yang cedera, Arul Selvaraj berkata, mereka perlu mengikuti proses rehabilitasi supaya dapat menyertai pasukan secepat mungkin.

Sementara itu, tuan rumah Afrika Selatan muncul juara selepas menewaskan Ireland 4-3 pada aksi final, sekali gus meraih tiket ke Liga Pro FIH 2023-2024. - Bernama.