LONDON - Seorang remaja di ibu kota Britain dijatuhkan hukuman penjara 21 bulan yang ditangguhkan kerana terlibat dalam cubaan mencuri motosikal berkuasa tinggi milik seorang hakim yang diparkir di luar mahkamah.
Deon-Dre Rogers-Barrett, 19, dan rakan sejenayahnya, Shay Hollis, 18, serta seorang lagi suspek yang tidak dikenal pasti didakwa cuba melarikan motosikal BMW bernilai 15,000 pound (RM80,949) dari Snaresbrook Crown Court di timur laut London ketika kejadian pada April 2021.
Iklan
Iklan
"Tetapi, Rogers-Barrett dan Hollis terperangkap setelah pagar premis tersebut ditutup pihak berkuasa," ujar jurucakap polis, Ian Croxford.
Kedua-dua tertuduh kemudiannya bertindak mencampakkan motosikal tersebut hingga menyebabkan kerugian mencecah ribuan pound sebelum melarikan diri.
Duo itu bagaimanapun berjaya dijejaki pihak berkuasa dan membawa kepada penahanan mereka.
Hollis turut dijatuhi hukuman perintah penyeliaan selama 18 bulan dan melakukan kerja tanpa gaji selama 12 jam selain diarahkan membayar pampasan berjumlah 500 pound (RM2,698) kepada mangsa.
"Kedua-duanya jelas biadab kerana nekad melakukan tindakan berani mati seperti itu, lebih-lebih lagi ia dilakukan di pekarangan mahkamah," kata Croxford lagi. - AFP