KULIM - Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj akan dipertimbang untuk diberikan peranan yang sesuai dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Sivaraj sebelum ini bersetuju memberi laluan dan menyokong tanpa syarat calon PH untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan itu, 7 Disember ini.
"Penarikan diri Sivaraj (daripada bertanding dalam PRU15 Padang Serai) dibuat tanpa syarat. Tapi saya yakin sebagai tokoh muda sudah tentu saudara Sivaraj ini layak untuk mendapat tempat.
"Dalam sebuah kerajaan baharu seperti ini tentu sahaja tokoh-tokoh muda sebegini akan ada tempat selayaknya yang akan kita pertimbangkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah mega PH di sini pada Ahad.
Mengulas mengenai penarikan diri Sivaraj daripada pilihan raya itu, Saifuddin Nasution berkata, ia dibuat selepas perbincangan PH dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, antara asas yang dikemukakan PH untuk penarikan diri calon BN itu adalah keputusan PH sebelum ini yang bersetuju memberi laluan kepada calon BN di pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman Pahang.
"Jadi dalam spirit kerajaan gabungan yang ada dalam kedua-dua blok ini di Tioman PH tarik diri, (manakala) di Padang Serai ini Sivaraj tarik diri dan saya tegaskan berulang kali tanpa syarat apa-apa, seperti mana penarikan di Tioman dibuat tanpa syarat," katanya.
Jumaat lepas, Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa calon BN memberi laluan kepada calon PH untuk PRU15 Padang Serai 7 Disember ini.
Mengulas mengenai tindakan Anwar melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan yang dipertikai banyak pihak, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, nama-nama dicadang dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibuat mengikut proses serta mengambil kira semua perkara.
"Satu keputusan sudah tentu mengundang pro dan kontra...kita yakin dengan pengalamannya dia (Anwar) mampu untuk memimpin kementerian yang penting ini," katanya. - Bernama