PASIR GUDANG – Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai lemas ketika memeriksa pukat ikan berhampiran kawasan Loji Sultan Iskandar di sini pada Isnin.
Menurut Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Saifulbahri Safar, kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi (4 Disember), ketika lelaki berusia 39 tahun itu menjalankan aktiviti memukat ikan di kawasan berkenaan.
"Setelah menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 12.55 tengahari, anggota bomba dari BBP Pasir Gudang, BBP Johor Jaya, BBP Skudai dan BBP Kempas bergegas ke lokasi.
"Pencarian di air menggunakan teknik surface searching, membuat selaman dengan menggunakan satu bot aluminium dan bot orang awam manakala pencarian di darat dipecahkan kepada dua kumpulan melibatkan seramai lapan anggota bomba.
Tambah Saifulbahri, ketika kejadian, mangsa dilaporkan memukat ikan di kawasan berkenaan bersama 14 rakannya.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menunggu ketibaan rakan-rakan yang lain di tebing tasik berkenaan sebelum turun ke tasik bagi memeriksa pukat berkenaan..
Mangsa yang tidak pandai berenang itu kemudiannya dilaporkan hilang.
Sementara itu menurut Saifulbahri, jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak polis pada jam 6.35 petang untuk tindakan lanjut.