[VIDEO] Pendirian Rafizi tak berubah isu jawatan PM, Menteri Kewangan

Iklan
RAFIZI RAMLI


PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pendirian Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung pengasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak pernah berubah.

Bagaimanapun Menteri Ekonomi berkata, pada masa ini landskap politik negara berada dalam keadaan adalah luar biasa.

"Secara idealnya, kita pisahkan jawatan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, dan pendirian itu tidak berubah," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Isnin.

Jelas Rafizi, berdasarkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tidak ada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan dengan sendiri tanpa gabungan.

"Pada masa sama juga, kita perlukan kepimpinan ekonomi yang kuat dan menjadi teras kepada program kerajaan.

Ini kerana kata Rafizi, setiap gabungan yang dibentuk mahukan jawatan Menteri Kewangan di pihak masing-masing.

"Jadi kalau contoh ada orang PH jadi Menteri Kewangan pun, itu akan ada masalah kepada BN,

"Kalau BN (Menteri Kewangan), akan ada masalah pada PH dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetapi kerana keadaan luar biasa, maka keputusan itu bagi saya sesuai buat masa sekarang, iaitu senang PM jadi Menteri Kewangan," katanya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan sebelum ini lantang bersuara berhubung kedudukan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan.

Pada era pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Rafizi menyifatkannya sebagai kerosakan ekonomi yang menjadi-jadi.

Sejak BN tumbang pada PRU14, jawatan Menteri Kewangan diberikan kepada pemimpin lain.

Sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau melantik Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng manakala Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memegang portfolio itu di bawah dua Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri.

Jumaat lalu, pada pengumuman senarai kabinet, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau turut memegang jawatan Menteri Kewangan.

Ia sekali gus mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk warga maya.

Institut dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) turut menyifatkan pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan dilihat kurang wajar malah tidak selaras dengan prinsip tadbir urus baik seperti yang dilaungkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.