PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau akan meneliti semua isu terutama isu mendesak di bawah kementeriannya satu persatu dan akan berusaha mengatasinya bagi memenuhi harapan rakyat.
Katanya, kementerian perlu meneliti dan menyelesaikan isu yang menjadi perhatian orang ramai yang dahulunya berada di bawah penyeliaan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Kementerian Alam Sekitar dan Air.
"Portfolio ini perlu fokus kepada isu perubahan iklim, banjir, alam sekitar, tenaga dan sebagainya. Rakyat kini sudah benar-benar prihatin tentang perkara tersebut. Dulu orang cakap sahaja tanpa memahami impaknya, tetapi sekarang orang sudah memahami.
"Bagi saya sedikit masa untuk meneliti apa yang perlu dilakukan, sebelum kami adakan apa-apa pengumuman, kami akan teliti satu per satu isu-isu yang mendesak," katanya ketika memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya di Wisma Sumber Asli, di sini pada Isnin.
Beliau berkata, fokusnya kini adalah untuk memastikan kementerian yang diterajuinya itu dapat bergerak ke hadapan termasuk menjayakan sektor tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
"Fokus kami sekarang adalah untuk bergerak ke hadapan, tetapi kami perlu mengimbanginya untuk menjadikannya saksama dan inklusif, ini bermakna apabila kami membuat peralihan, kami tidak boleh meninggalkan orang di belakang dan oleh itu kesejahteraan golongan B40 juga akan menjadi fokus kami," katanya.
Sementara itu, Menteri Sains dan Teknologi Chang Lih Kang yang turut memulakan tugasnya pagi ini teruja untuk menjalankan tanggungjawabnya dan menyifatkannya sebagai amanah amat berat kerana portfolio itu melibatkan masa depan negara.
Beliau yang disambut oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Aminuddin Hassim selesai merakam waktu masuk pada 8.32 pagi.
Ditanya mengenai penjenamaan kementerian itu, Chang berkata, perkara tersebut akan diputuskan di dalam mesyuarat khas jemaah menteri pertama kerajaan perpaduan yang akan diadakan pada hari ini.
Turut memulakan tugas secara rasmi ini ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan melakukan simbolik mengimbas kad perakam pada 8.52 pagi ini di Kementerian Pendidikan.
Fadhlina yang memakai baju kurung berwarna biru cair disambut Ketua Setiausaha Pendidikan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin (rpt.Pkharuddin) Ghazali di lobi kementerian itu.
Nik Nazmi, Chang dan Fadhlina antara muka baharu yang pertama kali dilantik sebagai menteri untuk menganggotai barisan 28 ahli Jemaah Menteri diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fahmi mula tugas sebagai Menteri Komunikasi Digital
Sementara itu, Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital di sini pada Isnin.
Beliau tiba di kementerian tersebut pada 12.15 tengah hari dan disambut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Digital Datuk Seri Mohammad Mentek, selepas menghadiri mesyuarat khas kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fahmi, 41, melakukan imbasan di mesin kedatangan sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu secara rasmi dan kemudiannya menghadiri sesi penyerahan nota serah tugas daripada Mohammad.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital), Ma. Sivanesan; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin; Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Che Roslan Che Daud.
Fahmi juga menghadiri sesi taklimat mengenai Kementerian Komuniasi Digital yang dikendalikan oleh Mohammad dan dihadiri pihak pengurusan tertinggi kementerian serta ketua-ketua jabatan.
Fahmi sebelum ini dilaporkan akan memberi tumpuan utama kepada isu akses Internet termasuk roll-out 5G dan capaian di luar bandar serta keselamatan data peribadi bagi menangani penipuan dalam talian (scam).
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu adalah antara 14 muka baharu dalam barisan kabinet Kerajaan Perpaduan
Sebelum berkecimpung dalam arena politik, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat itu bergiat aktif dalam seni kreatif dan persembahan sebagai penulis serta pelakon teater. - Bernama