BIAPRUN dilabel sebagai pasukan bukan pilihan, kehadiran Maghribi tidak boleh dipandang enteng apabila akan membuat perhitungan dengan Sepanyol pada aksi kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 pada Selasa.
Stadium Education City bakal menjadi saksi kemungkinan berlaku lagi kejutan seperti dilakar Maghribi ketika menewaskan Belgium 2-0 dan menundukkan Kanada 2-1 pada aksi di peringkat kumpulan.
Iklan
Iklan
Meskipun Sepanyol yang juga juara edisi 2010 menjadi pilihan, namun Maghribi yang dibimbing Walid Regragui ghairah untuk sekali lagi melakar kejutan pada aksi yang bermula jam 11 malam waktu Malaysia.
Selepas Maghribi mengalahkan Kanada untuk mara ke pusingan 16 terbaik, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memuat naik gambar Regragui memegang buah 'avocado' dengan bola sepak kecil di dalamnya dan menunjukkan jarinya di kepala sebagai mesej kepada pengkritiknya.
Gol yang dibolosi Kanada itu adalah yang pertama buat Maghribi dalam tempoh enam perlawanan di bawah Regragui dan ketika meraikan kemenangan, pemain berkumpul di sekeliling jurulatih dan memegang kepalanya.
Pada aksi itu, Maghribi selesa menggunakan taktikal 'tunggu dan lihat' sebelum menghukum lawan menerusi serangan balas kepantasan dan skil dimiliki Hakim Ziyech.
Sepanyol yang dibimbing Luis Enrique pula membuka tirai Piala Dunia dengan membelasah Costa Rica 7-0, sebelum terikat tanpa jaringan dengan Jerman dan dikejutkan dengan kekalahan kepada Jepun 1-2.