PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kesemua menteri kabinet bersetuju untuk melakukan potongan gaji sebanyak 20 peratus sebagai tanda keprihatinan terhadap rakyat.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas kabinet yang berlangsung pada pagi Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemotongan gaji itu akan disemak semula selepas ekonomi kembali pulih.
"Kalau ekonomi pulih dalam tempoh tiga tahun, ia akan disemak," katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat kabinet pertama di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar dalam pada itu mengesahkan beliau turut tidak mengambil gaji sebagai Menteri Kewangan.
"Ada orang kata Anwar ambil gaji PM tapi ambil gaji Menteri Kewangan...Itu tidak benar...gaji dia satu sahaja," katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) pada sidang media pertama sebagai Perdana Menteri mengulangi pendirian tidak akan mengambil gaji Perdana Menteri.
Ia sebagai langkah pertama untuk memulih keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang dipimpinnya.