KUALA TERENGGANU - Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Din Adam menyifatkan kemenangan hatrik BN dalam tiga PRK membuktikan penolakan rakyat terhadap politik ‘kebencian’ yang diamalkan kerajaan hari ini.
Katanya, pola perubahan dan sokongan rakyat dilihat berlaku setelah proses pilihan raya sebenar (PRU14) dalam tempoh hampir setahun lalu.
"Saya lihat jelas kemampuan kerajaan yang berteras kebencian ini sudah ditolak di mana mereka hanya mencari kesalahan kerajaan terdahulu yang nyata tidak seperti mana didakwa.
"Rakyat dah muak dengan perangai sebegini tanpa dibentangi hala tuju jelas apa yang nak dibawa untuk masa depan rakyat. Mereka lebih mirip kepada 'blamming game' sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, tempoh 'honey moon' yang diraikan kerajaan dengan kemenangan melalui cerita-cerita fitnah dan kebencian yang dibawa telah berlalu.
"Rakyat atau pengundi akan menilai kerajaan yang berkuasa hari ini sama ada negeri atau Pusat sejauh mana boleh menjamin atau memberi kesejahteraan atau masa depan yang baik.
"Sekarang dah tiba masa untuk bekerja tetapi jelas tidak nampak kemampuan kepada kepimpinan kerajaan yang ada hari ini.
"Mereka sering bercanggah pendapat sesama sendiri. Sebab itu hari ini kita lihat perubahan ini berlaku bukan sahaja di luar bandar tetapi di kawasan bandar pun berlaku perkara sama,” katanya.
Beliau berkata, perubahan itu juga berlaku hasil penyatuan dan kerjasama antara Pas dan UMNO.
"Keadaan hari ini berubah juga kerana ada persefahaman dan kerjasama yang baik antara Pas dan UMNO sebagai satu kaedah dalam penyatuan ummah di samping kerjasama jelas dalam parti komponen BN.
"Ini dapat dibuktikan di mana pihak ini dengan persefahaman dan keterbukaan yang jelas boleh berada dalam satu pentas ceramah.
"Saya seronok lihat perkembangan positif ini,” katanya.