FIH 2022: Pengalaman berguna Speedy Tigers

Iklan
Pemain negara, Zulpidaus Mizun (kanan) cuba mengawal pergerakan pemain Korea Selatan, Jun Man-jae pada Isnin. Foto FB MHC

PARA pemain hoki negara menimba pengalaman berguna dalam saingan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2022 biarpun Speedy Tigers terpaksa berpuas hati dengan penamat keempat.

Ketua jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj berkata, barisan pemainnya sudah mempamerkan aksi terbaik di sebalik kekangan kehilangan beberapa pemain utama.

Iklan
Iklan

Speedy Tigers tewas 0-4 kepada Korea Selatan pada perlawanan penentuan tempat ke-3/4 di Potchefstroom, Afrika Selatan pada Isnin.

"Walaupun tewas, barisan pemain sudah berusaha keras. Kami kekurangan tenaga kerana tidak cukup untuk melakukan pertukaran pemain.

Iklan

"Kelemahan ini sangat ketara kerana kami kehilangan tujuh pemain utama pada kejohanan kali ini, manakala beberapa muka baharu tidak dapat beraksi dengan baik. Namun mereka sudah berusaha sebaik mungkin, itu paling penting,” katanya.

Penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman cemerlang di gawang apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya rangkaian penyerang Korea.

Iklan

Korea Selatan di depan pada minit ke-22 menerusi gol padang Seo Inwoo sebelum Lee Namyong menambah gol kedua empat minit kemudian untuk skuad Kimchi mendahului dua jaringan pada separuh masa pertama.

Pada minit ke-39, Hwang Taeil menyempurnakan pukulan sudut penalti, manakala pakar pukulan sudut penalti, Jang Jonghyun melengkapkan kemenangan bergaya Korea Selatan apabila menyumbang gol keempat menuju ke minit akhir perlawanan.

"Kami akan berehat seminggu, manakala pemain yang cedera akan meneruskan sesi pemulihan sebagai persiapan ke Piala Dunia tahun depan.

"Secara keseluruhan, ia adalah kempen yang bagus apabila ada barisan pemain lain berpeluang menimba pengalaman tetapi mereka agak bergelut mengisi posisi penting. Apapun banyak pengajaran daripada kejohanan ini,” ujar Arul.