JOHOR BAHRU - Beberapa kawasan di Johor Bahru dan Pasir Gudang mula dinaiki air berikutan hujan lebat sejak jam 12 tengah hari pada Isnin.
Antara lokasi yang terlibat adalah Lebuhraya Pasir Gudang di Seri Alam, Jalan Tampoi, Kampung Kurnia, Kampung Ubi dan Jalan Masai Lama.
Menerusi beberapa video dan gambar yang dikongsi di laman sosial memperlihatkan keadaan terjejas teruk di lokasi dilanda banjir kilat.
Turut kelihatan beberapa kenderaan terkandas dan ada juga memberhentikan kenderaan di bahu jalan yang lebih tinggi berikutan air deras.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan Mohd Yusri Atan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian banjir kilat di jejantas bandar Seri Alam pada jam 1.53 tengah hari.
Dalam pada itu menerusi kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, terdapat empat buah rumah di Kampung Ubi Tampoi terjejas akibat dinaiki air pada jam 2.35 petang.
Pihak APM juga sedang membuat pemantauan secara berterusan di kawasan terbabit yang dinaiki air setinggi 0.6 meter itu akibat hujan lebat berterusan lebih sejam selain saluran perparitan dipercayai tersumbat.
Sinar Harian difahamkan sehingga kini masih tiada pusat pemindahan dibuka.