Perlu peruntukan lebih besar depani krisis ekonomi, makanan

Iklan
Mohamad menandatangani buku sebagai simbolik memulakan tugas sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sambil diperhatikan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid.

PUTRAJAYA - Kerajaan disaran memberi peruntukan yang lebih besar kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mendepani krisis ekonomi dan makanan yang dijangka berlaku tahun hadapan.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, di samping itu peruntukan tersebut bagi melicinkan pengoperasian kementerian agar lebih baik dan teratur.

Iklan
Iklan

"Masalah besar (kementerian) ialah peruntukan (tetapi) kita yakin Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri akan lihat soal ini kerana kementerian ini juga adalah barisan hadapan dalam krisis ekonomi dan makanan.

"Sekarang pun bahan utama makanan masih mahal, kita akan cuba mainkan peranan untuk stabilkan harga-harga itu," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat bersama kepimpinan tertinggi kementerian pada Isnin.

Mohamad melihat produk makanan yang dipamerkan sebelum menghadiri taklimat bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Iklan

Terdahulu dalam Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum pembubaran Parlimen pada Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Dalam pada itu, Mohamad berkata, isu kecukupan bekalan makanan dengan tawaran harga yang berpatutan turut menjadi agenda utama beliau selepas dilantik menerajui kementerian berkenaan.

Iklan

"Bagi saya, kecukupan makanan dan harga yang berpatutan itu penting sebab mungkin kementerian lain menghadapi masalah (berkaitan) gaji, pekerjaan, tetapi di sini adalah kecukupan makanan.

"Sebab itu Perdana Menteri menekankan soal ini secara berkali-kali, soal sekuriti makanan (dan) kecukupan makanan perlu diambil berat.

"Sebelum merangka apa yang perlu dilakukan, (perkara) sedia ada akan diteruskan dan agenda baharu dibincang bersama pegawai berpengalaman di kementerian ini,” katanya.

Mohamad bersama barisan kepimpinan dan pegawai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menjelaskan, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi berbincang mengenai harga bekalan makanan mengikut kadar berpatutan.

"Kita akan lihat soal harga makanan khususnya harga telur sebab itu makanan umum, jadi itu perkara yang perlu diberi perhatian khas.

"Di samping harga ikan (dan) ayam, kita akan bincang mengenai makanan lain untuk diberi perhatian (kerana) ekonomi dunia yang merosot pada tahun depan, bagaimana kita nak hadapi persediaan itu," ujarnya.