SUBANG JAYA – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan jumlah keluarga asnaf di Selangor akan meningkat dua kali ganda kepada 157,000 keluarga menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, penilaian itu berasaskan data semasa dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya disebabkan miskin tegar, miskin sementara dan miskin segera.
Menurutnya, masalah ekonomi juga antara penyumbang kepada peningkatan kadar keluarga asnaf di Selangor.
"Sehingga kini LZS menggunakan tenaga pekerja dalam kalangan kakitangan serta kira-kira 2,000 amil kariah Selangor bagi bancian dan membantu asnaf yang layak," katanya pada program Kongsi Rezeki Bersama Komuniti di Masjid Darul Ehsan pada Isnin.
Pada program itu LZS turut merasmikan Kempen Kongsi Rezeki Dengan 2.5 peratus dan Zakat Selangor Peduli (ZSP).
Selain itu, syarikat PWN Excellence Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan RM150,000.
LZS turut menyampaikan penghargaan kepada pembayar setia zakat yang konsisten menunaikan kewajipan sejak 2005 serta simbolik penyerahan bantuan ZSP kepada beberapa penerima.
Dalam pada itu, Mohd Sabirin meletakkan keyakinan LZS mampu mencapai sasaran RM1 bilion kutipan zakat menjelang hujung tahun ini.
Jelasnya, sehingga November lalu sekurang-kurangnya 77 peratus daripada angka tersebut telah dicapai.
"Pada Disember ini, LZS menyasarkan tambahan sebanyak RM290 juta hingga RM300 juta kutipan.
"Kami seru mereka yang belum menunaikan zakat untuk berbuat demikian sebelum akhir tahun ini agar tidak terlepas haul dan lebih banyak asnaf dapat dibantu," ujarnya.
Beliau berkata, kesemua 18 cawangan LZS akan beroperasi tujuh hari seminggu termasuk Sabtu, Ahad serta cuti umum sepanjang Disember bagi memberi kemudahan orang ramai membayar zakat.
Tambahnya, saluran dalam talian turut disediakan sebagai alternatif seperti aplikasi ZakatSelangor, EZakatPay, perbankan internet, e-dompet portal MYEG dan pos online.