PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipertanggungjawabkan untuk pengurusan bencana banjir dijangka melanda negara manakala Datuk Seri Fadillah Yusof akan memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak, terutamanya Perjanjian MA63.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu Ahmad Zahid dan Fadillah juga berperanan memastikan jurang ekonomi antara rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan dikurangkan dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengatasi masalah itu.
"Fadillah diberikan tugas untuk pastikan perkara bersangkut MA63 disegerakan terutama yang menimbulkan keresahan perlu segera diselesaikan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas di sini hari ini.
Anwar turut mengumumkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali berbanding 22 kali setahun yang diluluskan sebelum ini.
"Kita tidak ada kecenderungan mengutip dana haram, jadi hari saya ini saya sebagai Menteri Kewangan membatalkan keputusan cabutan khas perjudian," katanya.
Pada September 2021, kerajaan ketika itu meluluskan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dari lapan kali kepada 22 kali. - Bernama