KUALA LUMPUR - Lebih 10,000 individu didakwa menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan membabitkan kerugian mencecah RM3 bilion.
Pelaburan itu dibuat mangsa akibat terdesak dan hilang punca pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 yang lalu sebelum didedahkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC).
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa diperdaya oleh ejen-ejen pelaburan dan ditawarkan dividen yang tinggi setiap bulan mencecah 17 peratus sebulan.
Katanya, kebanyakan mangsa tertarik dengan tawaran pulangan tinggi yang ketika itu kebanyakan mereka sedang susah dan tidak bekerja semasa PKP.
"Mangsa ini ditawarkan dengan jumlah pelaburan serendah RM50,000 hingga RM4 juta seorang.
"Difahamkan kes ini pernah disiasat polis namun sindiket ini tidak berhenti dan masih berleluasa memperdayakan orang ramai untuk menyertai pakej-pakej pelaburan yang ditawarkan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Isnin.
Beliau sebelum itu hadir bersama 180 mangsa penipuan membuat satu laporan polis.
Tambah Hishamuddin, dianggarkan ribuan mangsa ditipu terutama semasa PKP sejak tahun 2020 oleh sindiket yang mengambil kesempatan memperdaya mangsa untuk menyertai pelaburan secara dalam talian yang kononnya dilindungi insurans.
Jelasnya, ramai mangsa adalah warga emas hingga mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), duit simpanan dan ada yang meminjam wang dengan along semata-mata untuk menyertai pelaburan palsu yang dikenali sebagai Zuttelo ini.
"Sekiranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bertindak secara serius, sindiket ini akan menjadi lebih ekstrim sehingga menjadi kartel penipuan dengan menyasarkan lebih ramai rakyat Malaysia sebagai mangsa," katanya.
Justeru, beliau mencadangkan PDRM selain menggunakan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, pihak berkuasa itu turut menggunakan undang-undang pencegahan seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sementara itu, Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan berkata, orang ramai wajar lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang pelaburan dan tidak mudah terpedaya tawaran pulangan yang tinggi.
"Apa yang perlu dilakukan kini adalah langkah pencegahan yang serius. Mencegah orang ramai daripada terpedaya dengan tawaran-tawaran pelaburan palsu dan mencegah sindiket-sindiket penipuan daripada terus melakukan kegiatan sebegini," ujarnya.