MELAKA TENGAH - Beberapa penduduk terpaksa bersengkang mata mengawal lalu lintas berikutan saluran paip air utama bawah tanah di laluan Jalan Bukit Katil, Kampung Duyong di sini, tiba-tiba pecah dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Penduduk kampung mengambil keputusan menjaga lalu lintas di kawasan itu selepas mendakwa usaha mereka mendapatkan bantuan daripada pihak tertentu gagal dan aduan tidak dipedulikan.
Penduduk, Deen Ahmad Abd Rashid, 26, berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 malam itu mengakibatkan limpahan air deras mengalir setinggi paras lutut sehingga menjejaskan kedai makan berhampiran.
"Selepas menunggu bantuan daripada beberapa pihak termasuk Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) tidak kunjung tiba, saya bersama penduduk lain meneruskan menjaga lalu lintas menggunakan lampu daripada telefon bimbit sehinggalah cuaca cerah kira-kira jam 7.30 pagi.
"Pagi ini selepas paip ditutup, kami terkejut apabila mendapati terdapat lubang sedalam 2 meter di tengah jalan dan kalaulah kami turut biarkan sahaja sudah pasti akan ada motosikal atau kereta yang termasuk ke dalam lubang itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Deen Ahmad berkata, sebelum kejadian dia bersama isteri, Nurfatiha Zahid, 26, serta beberapa rakan lain sedang minum di kedai berkenaan yang juga milik bapa saudaranya sebelum dikejutkan dengan kejadian itu.
"Saya bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi agak kesal kerana walaupun sudah membuat aduan tetapi tiada tindakan diambil segera dan perlu menunggu sehingga pagi.
"Saluran paip hanya ditutup pagi tadi selepas tujuh jam air melimpah keluar. Bayangkan sepanjang tempoh itu sudah beribu gelen air bersih sudah dibazirkan," katanya.
Sementara itu, pengusaha kedai makan terbabit, Mohd Abdul Aleem Mohd Amin, 50, berkata, sepanjang dua tahun dia tinggal dan berniaga di situ, sudah dua kali kejadian sama berlaku dan akibatnya dia perlu menanggung kerugian.
"Selain perlu membersihkan lumpur dan pasir selain saya juga terpaksa menutup kedai memandangkan ia berlaku di hadapan kedai saya.
"Saya amat berharap masalah ini dapat diselesaikan sebaiknya kerana pemilik memaklumkan ini adalah kejadian ke enam dalam tempoh 10 tahun," katanya.
Sementara itu, ADUN Duyong, Damian Yeo ketika dihubungi berkata, pihaknya akan merujuk SAMB bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan langkah terbaik yang perlu diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.