Pejuang Putrajaya ikrar terus bersama Tun M

Iklan
Dr Mahathir (tengah) berucap ketika mengadakan pertemuan dengan ahli Pejuang Putrajaya.

PUTRAJAYA - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Putrajaya berikrar untuk terus setia bersama kepimpinan parti yang diterajui Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun mengalami kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Penyelaras Pejuang Muda Putrajaya, Muhammad Zulhilmi Mohd She Fee berkata, episod duka itu tidak mematahkan semangat mereka, sebaliknya gerakan parti akan terus diperhebat.

Iklan
Iklan

"Saya optimis, dengan gerak kerja yang lebih segar daripada barisan kepimpinan baharu, sasaran Pejuang Putrajaya mempunyai seramai 5,000 ahli akan dapat dicapai, seterusnya menjadi parti pilihan orang ramai," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ahli Pejuang Putrajaya melakukan kunjungan hormat terhadap Dr Mahathir bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Isnin.

Beliau sebelum itu bersama kira-kira 50 ahli Pejuang Putrajaya melakukan kunjungan hormat terhadap Dr Mahathir bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini.

Iklan

Jelas Muhammad Zulhilmi, dalam pertemuan tersebut, Dr Mahathir ada menyampaikan amanat kepada seluruh ahli Pejuang Putrajaya tentang betapa pentingnya perjuangan nasib bangsa tanpa mengharapkan apa-apa pulangan.

"Beliau turut berpesan agar orang Melayu harus menumpukan usaha dalam meningkatkan kuasa ekonomi bangsa supaya tidak menjadi lemah dan mampu pertahankan integriti, maruah dan kehormatan diri," ujarnya.

Iklan

Pejuang kalah semua 125 kawasan yang ditandingi dalam PRU15, membuatkan mereka tidak menjadi pembangkang di Parlimen.

Susulan itu, tokoh berusia 97 tahun itu menjelaskan akan memberi tumpuan kepada bidang penulisan selepas ini.