KELUARGA Pele sekali lagi menafikan spekulasi yang mengatakan ikon bola sepak Brazil yang sedang menjalani rawatan di hospital Sao Paulo itu berada dalam keadaan tenat, menurut Deutsche Presse-Agentur (dpa).
Akhbar Folha de Sao Paulo pada Sabtu melaporkan Pele, 82, telah dipindahkan ke wad paliatif di hospital tempatan ekoran rawatan kemoterapi tidak lagi berkesan.
Pele, pernah menjalani prosedur membuang tumor di usus besar pada tahun lepas, kini sedang menjalani rawatan susulan di klinik rawatan kanser dan menurut pihak hospital beliau menunjukkan tindak balas yang positif terhadap rawatan.
Dalam temu bual bersama TV Globo pada malam Ahad, dua anak perempuan dan seorang cucu legenda bola sepak itu menyatakan Pele sedang menjalani rawatan pernafasan berkaitan jangkitan Covid-19.
Kakaknya, Flavia Nascimento pula berkata:"bapa mereka berada di wad biasa dan adalah sangat tidak adil apabila orang mengatakan beliau berada di penghujung hayatnya dan dalam penjagaan paliatif. Ia tidak benar, kawan-kawan. Percayalah kami."
Cucu Pele, Arthur Arantes do Nascimento berkata:"Pele terharu dengan doa orang ramai ke atasnya”.
Mengenai dakwaan beliau sedang tenat:"Itu akan terjadi satu hari tetapi tidak hari ini. Beliau akan melihat Brazil menjadi juara dunia buat kali keenam," kata cucunya itu. - Bernama