SHAH ALAM - Tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju untuk memperuntukkan RM10 juta untuk tahun ini dan RM50 juta pada tahun hadapan kepada golongan pesawah miskin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai susulan teguran beliau berhubung permasalahan monopoli import beras di negara ini.
"Saya turut mengetengahkan tentang permasalahan monopoli import beras di negara ini. Dan kerajaan pimpinan saya tidak lagi akan mengizinkan monopoli import beras terus berlaku tatkala kepentingan dan hak pesawah miskin diinjak tanpa noktah.
"Kerajaan ini akan mengambil langkah untuk menyiasat perbelanjaan yang melampau tinggi oleh kerajaan yang lalu sehingga mencecah RM600 bilion ringgit secara tanpa tender bagi meneliti sejauh mana ketirisan dan penyelewengan berlaku, dan siapa atau tokoh mana yang membolot kekayaan tatkala rakyat dan negara berdepan kemelut pandemik,” katanya dalam siaran di Facebook pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Anwar menegur Syed Mokhtar, yang didakwa mempunyai monopoli terhadap import beras.
"Untuk berlaku adil, kita harus tahu kebenaran import (AP) beras ini bukan konsesi dan bukan dianugerahkan kepada beliau tetapi juga syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas)," katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, Bernas ketika itu dimiliki oleh Tan Sri Tan Boon Seng sebanyak 31 peratus dan turut dikuasai oleh syarikat milik Datuk Seri Shahidan Kassim.
"Syed Mokhtar telah membeli Bernas daripada Boon Seng sekitar RM800 juta dan RM400 juta daripada Shahidan.
"Jadi, beliau tentunya mempunyai tanggungan untuk membayar balik," katanya.
Tegasnya, kerajaan tidak akan mengizinkan pembolotan kekayaan oleh tokoh politik dengan begitu mudah, yang menghisap darah pesawah padi miskin.
"Sekarang tidak boleh bebankan Syed Mokhtar seorang sehingga kita dapat meneliti keuntungannya sama ada pulangan itu berpatutan," katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, Syed Mokhtar digesa untuk memberi peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin pada bulan ini dan RM50 juta daripada Bernas mulai tahun hadapan.
"Saya hanya memberikan contoh ini kerana ini adalah tata kelola pentadbiran yang baik bukannya slogan Melayu atau Islam," katanya.