Anwar saman Razman berhubung ucapan berbaur fitnah

Iklan
Dari kiri: Anwar, Razman

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berhubung ucapan yang didakwa mengaitkan beliau membawa budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta menyokong ideologi komunis.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan memfailkan saman itu menerusi Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Taiping dengan menamakan Razman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol selaku defendan tunggal.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar selaku plaintif mendakwa pada 6 November lepas, defendan berucap mengenai perkara itu pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 di pasar malam Tebuk Pancur, dan ucapan berkenaan disiarkan secara langsung melalui klip video di akaun Facebook defendan yang mendapat tontonan melebihi 94,400 kali, melebihi 5,100 reaksi, 429 kali perkongsian dan melebihi 2,600 komen sehingga hari ini.

Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa, kata-kata fitnah itu dan penerbitan artikel berkenaan antara lain membawa maksud beliau adalah seorang penipu, mengamalkan dan menyokong ideologi komunis serta menggalakkan perkahwinan sejenis.

Iklan

Dakwa plaintif, kata-kata fitnah itu dibuat untuk menjatuhkan reputasinya dan dakwaan dalam artikel berkenaan adalah tidak benar kerana plaintif sentiasa memperjuangkan ajaran dan nilai teras Islam dan mengecam semua dakwaan agenda LGBT selain memperjuangkan agenda reformasi yang lebih besar untuk tadbir urus.

Anwar mendakwa, kata-kata fitnah oleh defendan dibuat bertujuan untuk mencemarkan nama baik plaintif dengan menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian terhadapnya dan parti semasa tempoh berkempen untuk PRU15 bulan lepas.

Iklan

Menurut plaintif, defendan telah melanggar Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi kesalahan menimbulkan permusuhan semasa kempen pilihan raya selain mendakwa defendan gagal mengemukakan permohonan maaf kepada plaintif berhubung tindakannya itu.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan serta memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada terus mengungkapkan atau menyebabkan penerbitan artikel memfitnah yang serupa selain menuntut kos, faedah dan relif lain yang sesuai.

Peguam Datuk SN Nair ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu. - Bernama