CROATIA meneruskan persembahan cemerlang apabila menyambar slot suku akhir Piala Dunia selepas menyingkirkan cabaran Jepun 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 di pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Janoub pada Isnin.
Qatar 2022 merupakan pertemuan Piala Dunia ketiga antara Jepun dan Croatia, dengan Samurai Biru tanpa kemenangan dan jaringan dalam dua perlawanan sebelum ini, tewas 0-1 pada edisi Perancis 1998 dan seri tanpa jaringan pada Jerman 2006, kedua-duanya di fasa kumpulan.
Untuk rekod, kedua-dua perlawanan itu juga merupakan satu-satunya perlawanan Piala Dunia yang menampilkan Croatia menentang pasukan negara Asia sebelum ini.
Bagaimanapun tidak seperti ketika berdepan Jerman dan Sepanyol pada peringkat kumpulan sebelum ini yang menyaksikan persembahan bertenaga Jepun.
Namun di sepanjang 120 minit untuk seri 1-1 berdepan naib juara edisi Piala Dunia Rusia 2018 itu, kelemahan mental lama kembali menghantui Samurai Biru apabila gagal ketika memasuki fasa penentuan sepakan penalti, untuk mengakhiri cabaran tewas 1-3.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan penuh bertenaga, namun selepas beberapa minit, Croatia mula mengawal dan menentukan hala tuju permainan.
Bagaimanapun gol dihasilkan pemain kelab Liga Perdana Scotland, Daizen Maeda pada minit ke-43, terlebih dulu meletakkan Samurai Biru pimpinan Hajime Moriyasu mendahului perlawanan.
Namun bintang kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur, Ivan Perisic menyamakan kedudukan menerusi tandukan padu minit ke-55 untuk memastikan skuad kendalian Zlatko Dalic kembali semula ke dalam permainan.
Penjaga gol Dinamo Zagreb Dominik Livaković muncul wira dalam penentuan sepakan penalti apabila menyelamatkan tiga daripada empat penalti Jepun, dengan hanya Takuma Asano yang menjaringkan gol Samurai Biru.
Edisi Rusia 2018 sebelum ini, Jepun mengakhiri cabaran di fasa 16 terbaik apabila ditunjukkan Belgium jalan keluar setelah tewas 3-2 di Rostov Arena, Rostov on Don.
"Saya percaya penyesalan yang kami rasa dengan kekalahan ini akan membawa kepada sesuatu yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang...
"Kami dapat menunjukkan semangat juang rakyat Jepun di Piala Dunia. Ya, sukar untuk menerima kekalahan, namun di sebalik itu bola sepak Jepun sudah semakin maju," kata pemain pertahanan Yuto Nagatomo, yang beraksi di Piala Dunia kali keempat.