MOSCOW - Kira-kira 2,500 bangkai anjing laut ditemui terdampar di pantai Laut Kaspia di selatan Rusia.
Pihak berkuasa di wilayah Dagestan memberitahu siasatan awal mendapati kematian tersebut berkemungkinan berlaku secara semula jadi walaupun pelbagai spekulasi mula timbul.
Pada mulanya, pegawai wilayah menganggarkan penemuan sebanyak 700 bangkai haiwan itu, namun angka itu dinaikkan kepada kira-kira 2,500 ekor oleh Bahagian Dagestan di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Ketua Pusat Perlindungan Alam Sekitar Kaspia, Zaur Gapizov berkata, kumpulan mamalia tersebut dipercayai telah mati sejak beberapa minggu lalu.
"Tiada tanya menunjukkan ia dibunuh atau terperangkap pada jala menangkap ikan," katanya.
Susulan insiden itu, pakar Agensi Perikanan Persekutuan dan pendakwa raya yang memeriksa lokasi kejadian telah mengumpulkan data untuk penyelidikan makmal yang turut tidak menemui sebarang sampel berkaitan pencemaran.
Beberapa insiden sama yang disebabkan kematian semula jadi pernah dilaporkan sebelum ini termasuk tiga kejadian serupa di Kazakhstan.
Data Agensi Perikanan Persekutuan menganggarkan populasi anjing laut di Laut Kaspia adalah antara 270,000 dan 300,000 ekor. - Agensi