JOHOR BAHRU - Membesarkan tiga anak di bandar raya ini bukanlah mudah bagi seorang ibu tunggal, apatah lagi mereka berstatus orang kurang upaya (OKU).
Cabaran tersebut perlu ditempuhi Rahimah Abd Karim, 48, bersama tiga anak OKU sejak hampir dua tahun lalu.
Menurutnya, tiga anaknya iaitu Muhammad Nihal Abu Bakar, 20, menghidap cerebral palsy dan terlantar atas tilam manakala Nurul Ain Abu Bakar, 23, lembam selain kerap diserang sawan dan mempunyai penyakit darah merah kurang.
"Muhammad Nihal merupakan anak kelima juga sudah setahun tidak minum susu khas yang sepatutnya diberikan sehingga tulang tangan kirinya kelihatan bengkok akibat kurang kalsium.
"Selain itu saya terpaksa menggunakan kain batik untuk dijadikan lampin untuk Muhammad Nihal, selepas terputus bekalan lampin pakai buang kerana tiada sumber kewangan.
"Nurul Ain pula merupakan anak ketiga dan anak bongsu saya, Aiman Hakim Abu Bakar, 19, juga OKU yang kini belajar di sekolah khas di Kulai. Seorang lagi anak OKU saya iaitu anak keempat telah meninggal dunia pada 2015," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Seri Austin di sini pada Isnin, selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam yang menyumbang barangan keperluan harian kepada mereka.
Rahimah yang merupakan suri rumah berkata, kehidupannya susah selepas berpisah dengan suaminya kira-kira dua tahun lalu.
"Sewa rumah kami sudah tiga bulan tertunggak dan atas ihsan saudara, sewa rumah dua bulan telah dijelaskan. Orang akan lihat saya seperti biasa tetapi hanya ALLAH yang tahu, saya tiada simpanan, tidak pernah bekerja kerana perlu menjaga sepenuh masa keperluan tiga anak OKU.
"Dua anak saya sudah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab mereka sendiri. Saya cuba berniaga kecil-kecilan dengan menerima tempahan makanan dari rumah tetapi disebabkan kekurangan modal usaha itu terhenti," katanya.
Rahimah juga diuji apabila kesihatannya merosot dan akhir bulan lalu dia menjalani pembedahan apendiks di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
"Saya juga mempunyai ketumbuhan di rahim. Saya perlu kuat dan teruskan kehidupan demi anak-anak OKU saya.
"Muhammad Nihal perlukan rawatan susulan di HSI dan setiap kali ke hospital, saya terpaksa menaiki kenderaan e-hailing kerana kereta yang ada sudah rosak," ujarnya.
Tambahnya, setiap bulan mereka sekeluarga menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 namun digunakan untuk kos ubatan, lampin pakai buang dan makanan.
"Saya tidak mampu bayar sewa rumah dan berharap ada insan yang boleh membantu mendapatkan rumah sewa dengan kadar yang rendah. Saya tiada pendapatan, tetapi saya boleh memasak dan mahu kembali berniaga untuk menyara anak-anak," katanya.